BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, February 27, 2010

Anda Gagal??

Bagaimana & Apa Tanda Jika Anda Gagal
Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman




Tidak dapat dinafikan, kegagalan merupakan sesuatu yang amat pahit untuk ditelan. Kesakitan hasil darinya boleh menyebabkan seseorang amat terganggu dari sudut fizikal, mental, malah juga spritualnya.

Dari sudut mental, selain dari menjadi seseorang dan sesuatu yang boleh dipersalahkan, adakalanya ramai juga yang akan mengutuk diri sendiri, atas kegagalan yang menimpanya. Kutukan demi kutukan terhadap diri sendiri akhirnya bakal memakan dan membarahkan lebih banyak kekecewaan hingga membawa putus asa.

Menerima diri sebagai terus gagal dan akan terus terbuang. Diri akan terus menjauh dari masyarakat kerana terasa kerdil dan malu atas kegagalannya.

Dari sudut fizikal, bagi sesetengah individu, selera menjadi menurun hingga membawa implikasi kesihatan tubuh. Mankala yang lain pula sebaliknya bertambah selera makan akibat kegagalan, juga membawa kesan negative kepada kesihatan fizikalnya.

Akhirnya tanpa kesihatan fizikal, mental dan minda turut merosot, akhirnya kedua-duanya rebah dan sukar untuk bangkit kembali.

Dari sudut spiritual, kegagalan boleh mendatangkan dosa, ia juga boleh menambah pahala dan iman seseorang. Saya pernah bertemu seseorang yang gagal dalam PhD, terhakis keyakinannya terhadap konsep qada' dan qadar Allah. Imannya tergoncang.

Tidak kurang ada yang menyalahkan Allah ta'ala sewaktu menghadapi sebuah kegagalan. Akhirnya, dia terus jatuh dari sudut spiritualnya, kejatuhan bersama mental dan fizikal. Sukar dirawati.

Namun begitu, ada juga kegagalan yang berjaya menjadi asbab seseorang mendekatkan diri kepada Allah ta'ala. Kembali kepada jalan lurus setelah bengkok. Lalu dia kembali bangkit dengan azam, plan dan laluan yang baru, lalu dia berjaya.